Untitled Document
Untitled Document
 
 
 
 
     
       
Maklumat Tambahan Pengisian Maklumat Akademik.
 
   
1. UPSR  
2. SRP / PMR  
3. SPM / SPMV  
4. STPM  
5.

KELULUSAN PENGAJIAN TINGGI (PHD/SARJANA/IJAZAH/DIPLOMA/SIJIL/PELAJAR TAHUN AKHIR)

 
       
     
1.UPSR
 

Bagi pemohon yang memohon jawatan berdasarkan kelayakan UPSR / Tamat Darjah 6 mestilah Tamat Darjah 6 sekolah rendah bantuan penuh kerajaan.

 
       
2. SRP / PMR
 
  1. Bagi sijil PMR, sila pilih gred A hingga E dan bagi sijil SRP/LCE, sila pilih gred 1-9
  2. Hanya pemegang kelayakan SRP/LCE yang menyatakan 'Lulus' sahaja layak untuk memohon jawatan yang memerlukan kelayakan tersebut
  3. Bagi pemegang sijil PMR tiada pangkat yang diberikan
 
     
  KELAYAKAN PENILAIAN MENENGAH RENDAH (PMR) BAGI MAKSUD PELANTIKAN KE DALAM PERKHIDMATAN KERAJAAN  
     
 
  1. Bagi pemegang kelayakan PMR perlu mendapatkan sekurang-kurangnya peringkat 'D' dalam 5 mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu dan Matematik
  2. Bagi skim-skim perkhidmatan yang mensyaratkan 'Kepujian' dalam mata pelajaran tertentu seperti Bahasa Melayu atau Pengetahuan Agama islam atau seumpamanya di peringkat 'C' dalam mata pelajaran berkenaan diperingkat PMR
  3. Calon-calon yang tidak memiliki keputusan seperti di atas adalah tidak layak dipertimbangkan untuk maksud lantikan ke jawatan-jawatan yang mensyaratkan kelulusan PMR atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan.
 
     
3. SPM / SPMV
 
  1. Sijil Am Pelajaran(SAP) adalah tidak setaraf dengan SPM/SPM(V)
  2. Sekiranya anda mengambil SPM mengikut sistem terbuka lebih daripada sekali, isikan keputusan peperiksaan yang dikumpulkan bagi dua (2) tahun dalam tempoh tiga (3) tahun berturut-turut
  3. Bagi pemegang sijil SPM Terbuka tiada pangkat yang diberikan
 
     
  KELAYAKAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) MENGIKUT SISTEM TERBUKA BAGI MAKSUD PELANTIKAN KE DALAM PERKHIDMATAN KERAJAAN  
     
  Calon-calon yang menduduki dan memiliki SPM mengikut sistem terbuka boleh dilantik ke skim-skim perkhidmatan yang mensyaratkan kelayakan demikian sebagai syarat lantikan. Bagi menentukan tahap kelulusan tersebut setaraf dengan kelulusan Sijil Penuh SPM, iaitu sijil yang dikeluarkan sebelum pelaksanaan peperiksaan mengikut sistem terbuka, syarat-syarat berikut perlu dipenuhi:  
     
  (a) lulus enam (6) mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu dengan dua (2) daripada mata pelajaran adalah di peringkat Kepujian dan selebihnya peringkat Lulus dalam satu (1) peperiksaan;  
  atau  
  (b) lulus enam (6) mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu dengan dua (2) mata pelajaran adalah di peringkat Kepujian dan selebihnya peringkat Lulus yang dikumpul dalam dua (2) peperiksaan dalam tempoh tiga (3) tahun berturut-turut  
  ; dan  
  (c) memenuhi syarat Bahasa Melayu, sama ada Kepujian atau Lulus dan subjek-subjek tertentu sepertimana disyaratkan dalam skim perkhidmatan.  
 

Calon-calon yang tidak memiliki keputusan seperti di atas adalah tidak layak dipertimbangkan untuk maksud lantikan ke jawatan-jawatan yang mensyaratkan kelulusan SPM atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan.

 
     
4. STPM
     
 
  1. Calon STP/HSC : Sekiranya mengambil peperiksaan melebihi satu kali, sila isikan hanya satu keputusan sahaja dalam ruangan yang disediakan
  2. Calon STPM : Sekiranya mengambil peperiksaan melebihi satu kali dalam tempoh 3 tahun, sila isikan keputusan dua tahun terbaik dalam ruangan yang disediakan
 
     
  KELAYAKAN STPM BAGI MAKSUD LANTIKAN DALAM PERKHIDMATAN AWAM  
     
1.

Mulai daripada tahun 1982 Kerajaan telah mengendalikan sepenuhnya peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mengikut cara sistem terbuka. Dengan itu juga Peperiksaan STP/HSC yang mengeluarkan Sijil Penuh (Full Certificate) dan sijil Kenyataan (Statement) telah dimansuhkan dan digantikan dengan peperiksaan STPM yang baru. Sebagaimana yang telah sedia maklum bahawa Sijil Tinggi Persekolahan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan adalah merupakan kelayakan masuk minima yang ditetapkan dalam skim-skim perkhidmatan Kumpulan B.

 
     
2.

Dalam peperiksaan STPM yang baru sistem penggredan mata pelajaran adalah sama seperti penggredan dalam peperiksaan STP/HSC Cambridge iaitu berasaskan Gred A, B, C, D, E, R dan F. Peringkat kelulusan berasaskan gred ini ialah:

 
 
  1. Gred A hingga E menunjukkan kelulusan penuh (full pass) bagi sesuatu mata pelajaran di mana Gred A adalah kelulusan penuh yang terbaik dalam sesuatu mata pelajaran manakala Gred E adalah kelulusan penuh yang terendah bagi sesuatu mata pelajaran;
  2. Gred R menunjukkan kelulusan sebahagian (intermediate pass) dalam sesuatu mata pelajaran. Dalam peperiksaan STP/HSC dahulu gred ini ialah Gred O iaitu kelulusan Subsidiary;
  3. Gred F menunjukkan kegagalan dalam sesuatu mata pelajaran.
    Calon-calon yang lulus walaupun dalam satu mata pelajaran sahaja adalah berhak mendapat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.
 
     
3. Memandangkan terdapat banyak skim-skim perkhidmatan yang mensyaratkan kelayakan masuk minima STP/HSC dan Peperiksaan STP/HSC pula telah dimansuhkan, maka kelulusan STPM yang dapat dianggap sebagai setaraf dengan kelulusan Sijil Penuh STP/HSC bagi maksud pelantikan ke dalam Perkhidmatan Kerajaan adalah seperti berikut:
 
 
  1. Lulus sekurang-kurangnya 3 mata pelajaran atas Gred E dan lulus Kertas Am dalam satu peperiksaan STPM; ATAU
  2. Lulus 2 mata pelajaran dan lulus Kertas Am dalam satu peperiksaan STPM dengan syarat kedua-dua mata pelajaran yang lulus itu mestilah sekurang-kurangnya mendapat Gred C dan C atau Gred B dan D atau Gred A dan E; ATAU
  3. Lulus sekurang-kurangnya 2 mata pelajaran atas Gred E dan 2 mata pelajaran atas Gred R serta lulus Kertas Am dalam satu peperiksaan STPM; ATAU
  4. Lulus sekurang-kurangnya 4 mata pelajaran yang berlainan atas Gred E dan lulus Kertas Am dalam peperiksaan STPM yang dikumpulkan dalam 2 peperiksaan dalam tempoh 3 tahun berturut-turut.
 
  Pemohon-pemohon yang tidak memiliki salah satu daripada kelulusan di atas adalah tidak layak dipertimbangkan untuk maksud lantikan ke jawatan-jawatan yang mensyaratkan kelulusan STP/HSC atau kelayakan-kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan sebelum ini.  
     
5. KELULUSAN PENGAJIAN TINGGI (PHD/SARJANA/IJAZAH/DIPLOMA/SIJIL/PELAJAR TAHUN AKHIR)
   
 

Pemohon dikehendaki memastikan kelayakan yang dimiliki adalah diiktiraf oleh kerajaan untuk tujuan lantikan ke dalam perkhidmatan awam. Sila rujuk ke Unit Pengiktirafan Kelayakan, Bahagian Latihan, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia untuk mengenalpasti pengiktirafan kelayakan yang dimiliki atau layari laman web Pengiktirafan Kelayakan.